Friday 31 May 2013

Budaya berbudi bahasa semakin hilang


Kerap kali dipaparkan dikaca televisyen iklan “Budi bahasa budaya kita”. Persoalannya di sini masih berkesankah lagi pepatah ini kepada kita atau ia sekadar iklan yang hanya bermain selama beberapa minit. Apakah masih lagi diamalkan oleh masyarakat Malaysia khususnya amalan berbudi bahasa ini sama ada daripada yang tua kepada yang muda atau sebaliknya. Barangkali ramai masyarakat kita yang masih lagi belum memahami sepenunhnya konsep berbudi berbahasa ini.
Bahasa menjadi asas utama pembinaan dan pengembangan sesuatu tamadun bangsa. Bahasa adalah bidang utama kekuatan bangsa dan alat pengucapan kebudayaan . Kebudayaan kebangsaan juga bersumberkan bahasa. Kelahiran sesebuah negara industri moden tidak akan bermakna kalau imej kebudayaan dan citra kebangsaan tidak jelas di gambarkan.
Budaya dari segi bahasa merupakan satu cara yang diamalkan dalam kehidupan bermasyarakat kini. Budaya merujuk kepada satu cara hidup yang diamalkan kebanyakan orang termasuk pemikiran, nilai kepercayaan, pandangan dan tabiat berfikir seseorang . Budaya adalah hak masyarakat yang akan menentukan tingkah laku mereka. Budaya adalah hasil ciptaan nasional yang merangkumi aspek kepercayaan, pemikiran, falsafah, moral, undang-undang etika, kesenian, bahasa , kesusasteraan dan cara hidup yang sebati dan diterima bersama.
Budaya berbudi bahasa merujuk kepada tutur kata, kelakuan, sopan santun dan tatatertib, akal kebijaksanaan dan perbuatan kebajikan yang tercantum dalam kata-kata mulia. Dengan kata lain, setiap gerak laku, tutur kata, cara hidup, pemikiran dan perasaan baik terhadap orang lain. Bagi masyarakat melayu perkataan budi itu membawa pelbagai maksud antaranya jasa dan sumbangan yang diberikan kepada individu yang lain. Lazimnya,orang yang menaburkan budi tidak mengharapkan balasan. Budi atau sumbangan itu baik dari segi tenaga atau material, mestilah diberi dengan ikhlas jika ingin diberkati Allah SWT. Orang yang menerima budi pula tidak dituntut untuk membalas budi yang diterima, memadai budi diterima dengan penuh ikhlas dan kesyukuran.
Budaya berbahasa adab ini semakin hilang atas beberapa sebab, pertamanya masyarakat melayu mula longgar, dan terpecah, perubahan masa, kemasukan pengaruh budaya barat yang menjadi ikutan anak-anak muda khususnya dan budaya negatif yang telah dipengaruhi oleh mereka. Generasi baru Malaysia kini tidak seperti dahulu, perubahan masa yang berlaku dan masyarakat juga bertukar akibat dari perubahan fzikal serta pekerjaan. Masyarakat melayu moden terseret  menjadi individu yang individualistik, terkongkong dengan egoismenya dan lebih menjadikan material sebagai nilai hidup.
Tambahan pula, ianya juga berpunca daripada diri mereka sendiri yang menganggap berbudi bahasa ini tidak penting, kolot, dan memalukan. Mereka lebih bangga dengan budaya luar berbanding budaya sendiri, dan kurangnya didikan agama. Kebanyakan kempen yang dijalankan oleh kerajaan juga tidak begitu berkesan.
Amalan 3S ( Sapa, Salam, Senyum) ianya kelihatan mudah untuk dilakukan tetapi amat jarang sekali dipraktikkan dikalangan masyarakat melayu. Nilai-nilai murni seperti bertegur sapa di antara jiran tetangga, bertimbang rasa, hormat-menghormati diantara yang tua kepada yang muda dan sebaliknya. Nila-nilai seperti ini seharusnya di pupuk di kalangan masyarakat kita khususnya.


Kesan buruk tidak mengamalkan amalan berbudi bahasa ini akan mendatangkan impak yang negatif terutamanya kepada diri sendiri dimana wujudnya kekurangan kesedaran sivik terhadap harta benda awam, individu dipandang serong oleh masyarakat dan tidak dipercayai oleh orang di sekeliling. Dari sudut kesan kepada masyarakat pula, berlakunya keruntuhan akhlak, wujudnya jurang di antara golongan tua dengan golongan muda dan berlakunya perbalahan antara masyarakat.
 Dari sudut kenegaraan, sekiranya kita tidak mengamalkan budaya berbudi bahasa ini ia akan mencemarkan imej negara kita Malaysia. Seperti mana yang kita ketahui, Malaysia bukanlah negara yang asing bagi dunia luar, ramai pelancong asing datang melawat negara kita sehinggalah daripada seluruh pelusuk dunia sama ada mereka datang untuk mencari rezki ataupun sebagai pelancong.  Dengan peningkatan pelancong asing di negara kita maka ekonomi Malaysia akan meningkat, oleh itu kita sebagai tuan rumah hendaklah menunjukkan budaya kita yang indah, sopan, dan menarik supaya mereka tertarik untuk datang ke sini lagi.
Budaya berbahasa dan amalan sosiobudaya bagi masyarakat melayu khususnya dan Malaysia umumnya, patut di kembalikan  ke pangkal jalan. Apa salahnya amalan budaya yang baik ini diteruskan sebagai sifat budi bahasa dan cara hidup masyarakat kita sejak ratusan tahun dahulu.

No comments:

Post a Comment